Demokrasi menuju anarki

Demokrasi menuju anarki

.



Kejadian huru-hara oleh penunjuk perasaan rakyat Thailand berkemeja T merah di Pattaya minggu lepas dan berlanjutan ke Bangkok kelmarin tidak sepatutnya berlaku di sebuah negara yang mendakwa mengamalkan demokrasi.

Penunjuk perasaan yang terlibat sewajarnya memikirkan tentang hak rakan senegara yang menyokong kerajaan Abhisit Vejjajiva. Lebih daripada itu, mereka sewajarnya menginsafi nasib Thailand yang turut terjebak dalam kancah kemelut ekonomi sedunia yang semakin muram.

Apakah keutamaan para penunjuk perasaan yang terlibat? Adakah mereka lebih mengutamakan emosi kerana Thaksin Shinawatra telah kehilangan kuasa berbanding dengan keutamaan untuk bersatu membina masa depan negara yang lebih baik?

Jawapannya hanya ada pada rakyat Thailand sendiri.

Kejadian di Thailand membuktikan bahawa demokrasi bukanlah preskripsi terbaik dalam memerintah, mentadbir dan membina negara. Sekiranya jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab, demokrasi boleh membawa kepada anarki seperti yang sedang terjadi pada nagara Gajah Putih itu.

Sememangnya demokrasi banyak memberi hak yang sewajar dan sepatutnya kepada rakyat, tetapi adakah hak tersebut termasuk untuk menimbulkan kekacauan dan menjatuhkan kerajaan secara paksa melalui tunjuk perasaan di jalanan?

Sudah tentu ini bukannya semangat dan tujuan demokrasi. Demokrasi bertujuan untuk diamalkan sebagai hak yang terletak kepada rakyat demi manfaat rakyat dan sesebuah negara.

Seandainya demokrasi tidak lagi memberi manfaat kepada rakyat dan negara, maka bolehlah dikatakan bahawa demokrasi bukan lagi menjadi sistem dan kaedah yang berkesan.

Di alaf baru dan di tengah-tengah kepesatan ilmu dan teknologi masih ada lagi negara yang tidak mengamalkan demokrasi, antaranya Arab Saudi dan Republik Rakyat China. Mengapakah kedua-dua negara ini masih mengamalkan sistem yang sedia ada dan bukannya demokrasi?

Pastinya pemimpin-pemimpin negara tersebut sedar dan faham bahawa dalam konteks pemerintahan negara mereka masing-masing, demokrasi tidak akan membawa negara mereka ke mana melainkan menuju kancah permasalahan.

Sebagai sebuah negara Islam, Arab Saudi tidak memerlukan demokrasi. Al-Quran dan hadis sudah cukup untuk menggariskan hak serta obligasi di antara kerajaan dan rakyat serta sesama rakyat. Mereka tidak memerlukan kaedah pemikiran asing dalam undang-undang hubungan antara kerajaan dan rakyat.

Amalan demokrasi China pula akan bertentangan dengan fahaman komunis yang telah mereka amalkan semenjak Mao Tze Tong mengambil alih kuasa sekitar penghujung tahun 1940-an.

Walaupun China kelihatan mula mengamalkan dasar yang lebih terbuka setelah Deng Xiao Peng menjadi Pengerusi parti komunis negara itu, China masih keberatan untuk mendakap erat demokrasi.

Lihat saja demokrasi yang diamalkan oleh Iraq. Adakah demokrasi membawa kepada keamanan di negara Teluk Parsi itu? Adakah kesejahteraan mengekori demokrasi yang diamalkan setelah sekian lama berpecah disebabkan perbezaan mazhab Sunnah dan Syiah?

Tidak dapat dinafikan bahawa rakyat telah memperoleh lebih kuasa untuk menentu dan memilih kerajaan berbanding zaman pemerintahan Saddam Hussein, tetapi mampukah kuasa seumpamanya membawa perpaduan dan kemajuan ekonomi - sistem yang disanjungi bergelar demokrasi?

Lihat juga amalan demokrasi di Indonesia yang baru berusia setahun jagung selepas kejatuhan pemerintahan yang sering disebut sebagai rejim Suharto.

Perbelanjaan yang besar terpaksa ditanggung semata-mata untuk membolehkan rakyat mengamalkan hak mereka untuk memilih kerajaan. Bukankah lebih baik sekiranya wang rakyat dan negara itu digunakan untuk membasmi kemiskinan yang sememangnya tinggi selama ini?

Setiap empat atau lima tahun, kerajaan terpaksa berbelanja atas nama demokrasi dan bayangkan apakah yang boleh dilakukan dengan wang tersebut dalam tempoh dua puluh tahun jika digunakan sebaik-baik mungkin atas tujuan memanfaatkan rakyat dan bukannya demi demokrasi.

Dalam konteks Thailand, sekiranya proses demokrasi dijalankan sekali lagi melalui pilihan raya, dapatkah demokrasi seumpamanya menjamin tiada lagi tunjuk perasaan dan rusuhan jalanan menentang kerajaan yang baru?

Kerajaan terdahulu sebelum Abhisit tumbang setelah rakyat tidak berpuas hati lalu membuat referendum jalanan menjatuhkannya. Kini kerajaan Abhisit sendiri pula kelihatan hampir mengalami nasib yang sama disebabkan oleh gelombang serupa atas nama demokrasi.

Sesungguhnya demokrasi hanya boleh dianggap baik sekiranya ia membawa kebaikan kepada rakyat dan negara. Jika demokrasi tidak lagi membawa kebaikan kepada rakyat dan negara, pilihan yang lain mesti dicari menggantikan demokrasi.

Dalam mencari pilihan untuk menggantikan demokrasi, hak rakyat sewajarnya tidak dinafikan. Di sinilah letaknya peranan undang-undang seperti ISA. Tidak ada demokrasi mutlak yang boleh diberikan kepada rakyat melainkan 'demokrasi terpimpin' berlunaskan undang-undang dan kawalan yang munasabah.

Semenjak kemerdekaan negara pada tahun 1957, hanya sekali sahaja Malaysia melalui episod berdarah melalui rusuhan kaum dan jalanan. Usaha menggantikan pusat mengundi dengan jalan raya bagi memungut suara rakyat semenjak itu hanya ketara pada penghujung dekad 1990-an.

Bolehlah dikatakan bahawa demokrasi di Malaysia dapat dijalankan dengan aman selama ini disebabkan oleh tahap toleransi pelbagai kaum yang begitu tinggi dan kebijaksanaan rakyat menangani hak demokrasi yang ada dalam genggaman mereka.

Namun demikian, tindakan jahat pihak-pihak tidak bertanggungjawab menyemai perasaan benci rakyat terhadap kerajaan dan sesama rakyat memungkinkan salah guna demokrasi oleh rakyat akan turut berlaku di negara ini.

Sudah cukup kita menderita dengan tsunami politik pada bulan Mac tahun lepas. Tindakan individu tidak bertanggungjawab berbaring di atas jalan bagi menghalang kereta pemimpin disebabkan emosi di pintu masuk Istana Iskandariah Kuala Kangsar awal Februari lalu adalah petanda buruk tentang mereka yang tidak pandai menghargai demokrasi.

Harapan kita sekarang ialah agar Malaysia tidak ikut terjerumus sebagaimana Thailand yang kini menjejaki anarki.

Sumber : Utusan

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

 
{nama-blog-anda} is proudly powered by Blogger.com | Template by Agus Ramadhani | o-om.com